
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa pendaftaran tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero sebagai pemain tempatan adalah mengikut Peraturan Pertandingan Liga Malaysia 2025-2026.
Menurut kenyataan MFL, perkara itu merujuk kepada Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 di bawah 01 Peraturan Pertandingan, Artikel 3: Sistem Pendaftaran dan Perpindahan Pegawai dan Pemain, Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak FAM MYPAS (FIFA CONNECT) dan Perkara C berkaitan Pemain Tempatan dan Asing iaitu mewajibkan salinan kad pengenalan berwarna atau salinan pasport berwarna.
“Empat pemain ini telah melalui proses pendaftaran mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan Liga Malaysia 2025-2026.
“Justeru, MFL mengesahkan tiada pelanggaran peraturan dilakukan dalam pendaftaran Figueiredo, Irazabal, Hevel dan Palmero oleh kelab mereka pada musim ini,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, MFL menambah, empat pemain berkenaan masih perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan dalam perlawanan rasmi seperti yang telah diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) baru-baru ini.







