
SEREMBAN : Malaysia menuntut agar Israel menilai semula keputusan menutup Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan ekoran tindakan tersebut dianggap menghalang umat Islam, terutamanya rakyat Palestin menunaikan ibadah seperti solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri yang bakal menjelang.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, penutupan Masjid Al-Aqsa merupakan perbuatan tidak bermoral dan keji kerana menghalang penggunaan tempat ibadah yang menjadi pusat rohani umat Islam selama beribu tahun.
Katanya, Malaysia menegaskan hak umat Islam untuk mengakses masjid suci ini perlu dihormati, sejajar dengan prinsip kebebasan beragama dan penghormatan terhadap tapak suci.
“Menahan orang ramai daripada menggunakan tempat ibadah suci umat Islam adalah satu tindakan yang sangat tidak bermoral dan amat keji,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan yakin pelbagai negara lain juga akan menyuarakan bantahan serta kecaman serupa terhadap penutupan Masjid Al-Aqsa.
Sebelum ini, beberapa menteri luar dari negara-negara majoriti Islam turut menggesa Israel supaya menghentikan penutupan pintu masuk kompleks masjid berkenaan.
Mereka turut mengecam tindakan berterusan yang menghalang umat Islam daripada mengakses kawasan suci itu, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mulia.







