
JAKARTA: Lapan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam menggesa Israel segera menghentikan tindakan menutup pintu masuk ke kompleks Masjid al-Aqsa serta menarik balik sekatan terhadap umat Islam yang ingin memasuki kawasan suci itu, khususnya pada bulan Ramadan.
Menteri Luar Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kenyataan bersama mengecam tindakan berterusan Israel menutup kawasan berkenaan kepada umat Islam.
Mereka turut menggesa Israel menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmaqdis serta tidak menghalang umat Islam daripada menunaikan ibadah di masjid berkenaan.
Menurut kenyataan itu, masyarakat antarabangsa perlu mengambil pendirian tegas bagi mendesak Israel menghentikan pelanggaran berterusan terhadap tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis.
Mereka juga menegaskan penolakan dan kecaman keras terhadap tindakan yang disifatkan sebagai menyalahi undang-undang serta provokatif terhadap umat Islam.
Tambah kenyataan itu, Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis yang diduduki mahupun ke atas tapak suci Islam dan Kristian di kawasan berkenaan.
“Sekatan keselamatan terhadap akses ke Kota Lama Baitulmuqaddis dan tempat ibadatnya merupakan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain bercanggah dengan status quo sejarah serta prinsip akses tanpa sekatan ke tempat ibadat,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut menegaskan keseluruhan kawasan Masjid al-Aqsa yang berkeluasan 144 dunam (144,000 meter persegi) merupakan tempat ibadat khusus bagi umat Islam.
Menurut mereka, Jabatan Wakaf Baitulmaqdis dan Hal Ehwal Masjid al-Aqsa di bawah Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Jordan adalah pihak sah yang mempunyai bidang kuasa eksklusif mengurus dan menyelia kemasukan ke kawasan tersebut.







