
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat esok.
Hannah berkata, mesyuarat berkenaan akan berlangsung pada pukul 8.30 pagi.
“Ya saya bolehkan sahkan esok 8.30 pagi ada mesyuarat pengampunan, kita telah dipanggil dan itu sahaja setakat ini, komen yang saya boleh berikan kepada anda semua,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita sama ada mesyuarat itu melibatkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan pengampunan, beliau enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, Hannah merasmikan Pelancaran Fasa Ke-8 Program Mamogram Percuma Etiqa dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Kampung Siaga di Angkatan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijangka bermesyuarat esok untuk mempertimbangkan, antara perkara lain, permohonan Datuk Seri Najib, untuk mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau disabitkan enam tahun lalu atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang telah dijalaninya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudiannya mengurangkan separuh tempoh penjaranya kepada enam tahun dan mengurangkan denda kepada RM50 juta.






