
KUALA LUMPUR: Hantaran ringkas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Facebook pagi ini mencuri perhatian apabila hanya memuatkan perkataan ‘Alhamdulillah’.
Hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya ketika Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan dijadualkan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Ada yang mengaitkan hantaran itu dengan perkembangan mesyuarat berkenaan, manakala sebahagian pengguna meninggalkan komen berupa ucapan syukur, berkat Jumaat dan ‘Daulat Tuanku’.
Perkembangan itu berlaku selepas media malam tadi melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan akan bersidang semula hari ini, seminggu selepas pertimbangan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan.
Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri itu dikatakan menjadi satu-satunya perkara dalam agenda mesyuarat lembaga berkenaan hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilihat meninggalkan Istana Negara pagi ini selepas dipercayai menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Hannah meninggalkan pekarangan Istana Negara pada jam 9.43 pagi, selepas hampir dua jam berada di premis berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media yang menunggu di Pintu Dua Istana Negara sejak jam 7 pagi.
Sehingga kini, kenderaan yang dipercayai membawa Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, masih belum dilihat meninggalkan Istana Negara.







