KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa pelajar itu dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum meninggal dunia.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, dua peguam yang mewakili keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, menjelaskan ibu arwah, Noraidah Lamat, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau memberikan maklumat berkaitan dakwaan tersebut kepada mana-mana pihak.
Mereka menegaskan penyebaran maklumat palsu seperti itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat, bahkan bersifat spekulatif dan boleh mengganggu siasatan polis.
“Berikutan penularan beberapa video dan gambar berkaitan kes Zara Qairina, kami ingin menegaskan kenyataan wanita yang mendakwa mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah tidak benar dan semata-mata spekulasi.
“Kami juga ingin menjelaskan penyebaran gambar kronologi kononnya menunjukkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth pada pukul 1.08 pagi, 16 Julai lalu, juga bukan datang daripada pihak keluarga atau anak guam kami,” kata kenyataan itu.
Kedua-dua peguam turut menasihatkan wanita yang membuat dakwaan tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat terus kepada pihak polis, bukan menyebarkannya di media sosial.
Pada masa sama, mereka turut menegur tindakan menyebarkan gambar pelajar sekolah serta kenyataan negatif terhadap individu-individu yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Tindakan tersebut katanya, boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Tindakan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelas mereka.
Sejak kelmarin, tular beberapa dakwaan di media sosial kononnya Zara Qairina mengalami kecederaan dalaman akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu setakat ini.
Sehubungan itu, pihak peguam merayu agar semua pihak menghentikan penyebaran video, gambar dan maklumat yang belum disahkan, kerana ia hanya menambah tekanan emosi kepada keluarga mangsa.
“Kami menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk menyalurkannya kepada polis. Berhenti menyebarkan teori yang belum sahih kerana ia hanya menambahkan penderitaan keluarga,” tegas kenyataan itu.
