KLANG: Ibu bapa mentua kepada pempengaruh media sosial, Prince Syed antara empat individu ditahan polis susulan insiden pergaduhan di kawasan perumahan Taman Bertih Laut, Teluk Pulai, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah, berkata laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh seorang lelaki berusia 33 tahun pada pukul 2.40 petang semalam.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 59 tahun, termasuk ibu bapa kepada isteri lelaki terbabit, bagi membantu siasatan.
“Pegawai penyiasat kini melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lelaki dikenali di media sosial sebagai Prince Syed, atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman, membuat laporan polis selepas mendakwa diserang dan dipukul oleh empat individu dikenali di hadapan rumah kakaknya di Taman Bertih Laut.
“Mereka memukul kepala saya dengan topi keledar beberapa kali dan menumbuk muka hingga cedera di tangan serta muka,” katanya.
