
KUALA LUMPUR: Pengurusan masa yang berkesan menjadi kunci utama bagi jemaah umrah dan haji kali pertama bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang beribadah di Mekah serta Madinah.
Wakil Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. berkata, jemaah disaran merancang ibadah harian dengan memberi keutamaan kepada amalan wajib dan sunat utama seperti solat berjemaah, tawaf, saie serta membaca al-Quran selain memilih waktu kurang sesak bagi mengelakkan keletihan.
“Antara langkah utama ialah perancangan awal ibadah termasuk menetapkan sasaran harian seperti solat berjemaah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, meluangkan masa membaca al-Quran dan berzikir.
“Jemaah juga disaran memahami keutamaan ibadah dengan mendahulukan amalan wajib dan sunat utama berbanding aktiviti sampingan seperti membeli-belah yang boleh dilakukan pada waktu kurang sesak,” katanya.
Menurut Andalusia, jemaah dinasihatkan memilih waktu sesuai untuk tawaf dan saie khususnya pada awal pagi atau lewat malam bagi mengelakkan kesesakan sekali gus membantu menjaga stamina serta kesihatan sepanjang tempoh ibadah di Mekah.
Sementara itu di Madinah, jemaah digalakkan memanfaatkan masa di Masjid Nabawi dengan melipatgandakan solat sunat dan doa termasuk beriktikaf ringkas di Raudhah mengikut jadual yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Aspek pengurusan diri turut diberi penekanan, antaranya menjaga waktu rehat, pengambilan air secukupnya dan mematuhi arahan mutawif serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan perjalanan ibadah berjalan lancar,” katanya.
Andalusia turut menasihatkan jemaah baharu agar sentiasa berniat ikhlas, bersabar dan tidak terlalu mengejar kuantiti ibadah semata-mata.
Jemaah disaran menumpukan kualiti dan penghayatan agar pengalaman di Tanah Suci lebih bermakna serta memberi kesan berpanjangan selepas pulang ke tanah air.







