KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang memperkukuh keselamatan pengguna dan meningkatkan tanggungjawab platform digital dalam melindungi rakyat daripada ancaman siber.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, langkah itu dilihat penting memandangkan jenayah dalam talian kini semakin serius dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
Beliau menambah, berdasarkan rekod PDRM, rakyat menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian sejak Januari 2023 hingga November lalu.
“Dalam tempoh sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan 688 kes direkodkan sejak Januari 2021 hingga November 2025.
“Selain itu, kes berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) merekodkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan ONSA akan memastikan platform digital lebih bertanggungjawab dalam mengekang penyebaran kandungan berbahaya, menutup ruang operasi penjenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan online, penyalahgunaan identiti dan kandungan berunsur ekstremisme.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan komitmen kerajaan melindungi rakyat dan memastikan keselamatan mereka dalam persekitaran siber pada masa hadapan.
Beliau menegaskan, PDRM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kementerian berkaitan dan penyedia platform digital melalui pendekatan whole-of-government bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.
“Seiring pelaksanaan ONSA, PDRM komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan dan pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan,” ujarnya.
Mohd. Khalid berkata, PDRM yakin undang-undang baharu itu akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi lanskap siber yang semakin kompleks.
