
KOTA BHARU: “Menerusi penerangan yang dibuat kepada keluarga semalam, jenazah anak saya sempurna, namun kena fahamlah apabila terbabit dalam kebakaran.”
Demikian luahan bapa kepada Allahyarham Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33, yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, kelmarin.
Kamaruddin Salleh, 69, berkata jenazah anaknya dijangka dibawa pulang ke Kelantan esok selepas semua urusan forensik selesai.
Menurutnya, sebaik tiba di Kelantan, solat jenazah akan dilaksanakan di Masjid Al-Karamah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Kedeper.
“Ini jangkaan kami. Jenazah akan dibawa pulang esok selepas selesai urusan forensik.
“Semalam, kami dimaklumkan pihak berkuasa bahawa jenazah anak saya serta mangsa lain sudah ditemui,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Kamaruddin yang juga pesara guru berkata, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) telah diambil bagi membantu proses pengecaman jenazah.
Katanya, pihak polis turut meminta keluarga supaya tidak melihat jenazah terlebih dahulu sehingga semua urusan berkaitan selesai.
“Mungkin hari ini kami akan dipanggil ke Hospital Miri,” katanya.
Kamaruddin bersyukur apabila kesemua mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan berjaya ditemukan.
Katanya, dia pada mulanya berdebar apabila menerima maklumat bahawa hanya empat mangsa berjaya ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat.
“Semalam saya berdebar apabila maklumat awal mengatakan hanya empat ditemui.
“Alhamdulillah, selepas itu kami dimaklumkan kesemua mangsa sudah ditemui.
“Apabila jasad anak ditemui, saya bersyukur kerana sebelum ini macam-macam kita fikir memandangkan mereka terhempas dari ketinggian yang tinggi.
“Alhamdulillah, semua urusan operasi semalam berjalan lancar,” katanya.
Semalam, media melaporkan identiti kesemua lima mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, kelmarin, berjaya dikenal pasti pihak berkuasa menerusi pengecaman barang peribadi yang ditemukan pada jasad mangsa.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang syarikat Layang-Layang Aerospace, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; dua Jururawat Masyarakat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Seorang lagi mangsa ialah Pembantu Pegawai Perubatan (MA), Alexson Adit Henry, 31.







