
GUA MUSANG: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memperuntukan RM2.5 juta kepada Kampung Batu Papan di sini untuk dibangunkan, sekali gus menjayakan pelaksanaan 18 projek dibawah Kampung Angkat Madani yang pertama di negeri ini.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemilihan Kampung Batu Papan bertepatan dengan kriteria yang digariskan oleh kerajaan iaitu kampung yang mempunyai liputan kemudahan bawah 50 peratus dan tidak lengkap yang memerlukan perhatian khusus.
Katanya, program berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangunkan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup kesejahteraan rakyat.
“Sebanyak 18 kerja-kerja fizikal sudah dilaksanakan yang melibatkan kerja-kerja pemasangan lampu solar, pembaikan dewan dan tabika, pembaikan ruang riadah dan sukan serta naik taraf infrastruktur rekreasi dan sosial.
“Program Kampung Angkat Madani ini memberi peluang kepada masyarakat desa untuk memperbaiki taraf hidup dan mengurangkan jurang ketidaksamaan antara bandar dan desa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Program Kampung Angkat Madani di Kampung Batu Papan di sini hari ini.
Aaron memberitahu, secara keseluruhannya program ini memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan sosial, pembangunan kapasiti individu, serta memperluas akses kepada peluang pembangunan yang lebih baik.
Katanya, beliau yakin dengan semangat kerjasama dan komitmen daripada semua pihak akan dapat mencapai visi untuk membangunkan kampung-kampung di seluruh negara ke arah masyarakat yang lebih sejahtera, maju dan berdaya saing.
“Kerajaan menerusi Belanjawan 2024 telah mempertingkatkan capaian kemudahan asas dan kemudahan masyarakat melalui pendekatan Whole of Government.
“Sebanyak 42 buah kampung di seluruh negara terpilih sebagai Kampung Angkat Madani membabitkan peruntukan RM100 juta,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Batu Papan, Awang Idris berkata, penyerahan projek ini merupakan bukti kerajaan komited dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan desa.
Katanya, menerusi Program Kampung Angkat Madani, Kampung Batu Papan telah berubah wajah.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan di atas pemilihan kampung kami sebagai Kampung Angkat Madani di negeri Kelantan.
“Pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan ini dapat menaik taraf hidup penduduk serta menyemai semangat silaturahim antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.