
PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Suruhanjaya Tenaga, bakal melaksanakan proses bidaan terbuka untuk pembangunan sistem penstoran tenaga atau battery energy storage system (BESS) bagi sistem pembekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.
Prose bidaan itu selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.
Pembangunan BESS secara bidaan ini julung kali dilaksanakan akan menawarkan kapasiti berjumlah 400MW/1,600MWj.
“Pembangunan BESS ini akan dibahagikan kepada empat projek yang berasingan dengan kapasiti 100MW/400MWj bagi setiap projek dan perlu mencapai Tarikh operasi komersial bermula tahun 2026.
Kaedah perolehan secara bidaan terbuka ini akan memastikan proses kelulusan kepada pemaju yang berkelayakan dilakukan secara telus dan terbuka, membolehkan kadar tarif yang paling kompetitif serta memberikan manfaat yang maksimum kepada sistem perbekalan elektrik pada kos yang paling optimum,” menurut kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, proses penawaran bagi pembangunan BESS ini akan dilakukan secara dua peringkat iaitu bermula dengan proses Request For Qualification (RFQ) dan disusuli dengan proses penawaran bidaan melalui Request For Proposal (RFP).
Pelaksanaan RFQ akan dimulakan pada 29 November 2024 sehingga 13 Disember 2024. Proses RFQ ini merupakan saringan peringkat awal bagi mendapatkan maklumat mengenai kelayakan dan keupayaan pemaju yang berminat, sebelum disenarai pendek untuk menyertai proses penawaran bidaan melalui pelaksanaan RFP.
Pelaksanaan pembangunan BESS ini dijangka akan mewujudkan peluang ekonomi baharu dengan anggaran pelaburan bernilai RM2.8 billion.
“PETRA yakin pelaksanaan inisiatif ini akan mengukuhkan keupayaan dan keanjalan sistem grid di Semenanjung Malaysia untuk menerima lebih banyak kemasukan kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik, sekaligus menyokong komitmen PETRA untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara.
“Perincian mengenai kaedah dan proses penyertaan bidaan ini boleh didapati di laman sesawang Suruhanjaya Tenaga iaitu www.st.gov.my, mulai 29 November ini,” jelasnya.