KUALA LUMPUR : Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) telah memasuki kawasan zon kuning menuju ke Gaza, semalam.
Perkembangan itu dimaklumkan menerusi perkongsian aktivis, Heliza Helmi di platform Thread.
Kata Heliza, konvoi misi kemanusiaan itu dijangka akan masuk ke kawasan zon merah Gaza pada Khamis ini.
“Bismillah, Alhamdulillah secara rasminya kita telah pun memasuki zone kuning. Insya-Allah biiznillah hari khamis berkemungkinan masuk zon merah. Doakan,” katanya menerusi satu hantaran.
Sebanyak 43 kapal flotilla telah memasuki zon kuning setakat ini.
Manakala, tiga lagi kapal flotilla iaitu kapal Taigete, Marinette dan Spectre masih lagi berada di luar kawasan zon tersebut.
Sebelum ini, konvoi misi GSF dilihat mula memasuki kawasan zon kuning menghampiri Gaza jam 9.40 malam pada semalam.
Konvoi GSF yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej solidariti dan keamanan dijangka tiba di perairan Gaza menjelang akhir bulan ini.
Misi kemanusiaan ini turut mendapat penyertaan pelbagai negara dari benua Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, memperlihatkan sokongan global terhadap rakyat Gaza.
