
KUALA LUMPUR: Malaysia giat memperkukuh sektor logistik negara dengan melancarkan inisiatif Professional Advancement in Trucking and Haulage (PATH) sebagai langkah strategik menangani kekurangan lebih 4,000 pemandu lori berlesen di seluruh negara.
Program latihan berskala besar yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) ini dijangka membuka lembaran baharu dalam memperkasa tenaga kerja tempatan khususnya dalam sektor logistik.
“Dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta, PATH memberi fokus kepada latihan intensif, pensijilan profesional dan pemberian lesen komersial, termasuk Lesen E dan GDL E Bersendi.

“Ia turut merangkumi latihan pemanduan defensif lanjutan, keselamatan jalan raya dan pematuhan undang-undang trafik, sekaligus menepati standard industri.
“Malaysia kini berdepan cabaran besar apabila lebih 16,000 prime mover berdaftar tetapi hanya segelintir pemandu berlesen untuk mengendalikannya. Kekurangan ini bukan sahaja menjejaskan rantaian bekalan dan logistik, malah turut memberi kesan kepada daya saing negara,” menurut kenyataan HRD Corp.
Inisiatif PATH menyasarkan 1,000 peserta yang terdiri daripada pekerja logistik sedia ada dan rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan.
Program ini akan dilaksanakan di pelabuhan utama di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan Pahang.
Latihan sudah pun bermula di tiga negeri, dengan RM1.26 juta diluluskan sehingga 15 September 2025.
PATH mula diperkenalkan pada tahun 2024 di Pelabuhan Klang sebagai projek rintis, dan berjaya melahirkan 200 pemandu berlesen penuh.
Kejayaan ini mendorong pengembangan program ke peringkat nasional.
Majlis pelancaran PATH peringkat negeri Pulau Pinang diadakan di Ibu Pejabat Pelabuhan Pulau Pinang, Butterworth dan dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Seri Abu Huraira Abu Yazid, Ahli Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Seri Chan Kong Yew, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan dan wakil-wakil industri logistik utama negara.
“Melalui PATH, kita bukan sahaja melatih pemandu berkemahiran, tetapi juga membina ekosistem logistik yang lebih selamat, cekap dan mampan,” kata Steven.
PATH juga dijangka membawa kesan jangka panjang terhadap keselamatan jalan raya di Malaysia melalui amalan pemanduan berhemah dan latihan pematuhan undang-undang yang lebih ketat.
“Program ini bukan sekadar latihan. Ia adalah pelaburan dalam keselamatan, keberkesanan dan masa depan industri logistik negara,” menurut kenyataan itu.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai PATH, orang ramai bole melayari laman web https://hrdcorp.gov.my/path





