
SUBANG JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap media dapat memainkan peranan menggerakkan momentum dan hype awal Sukan Sea Malaysia 2027.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Malaysia selaku tuan rumah edisi 2027 perlu memastikan temasya itu bukan sekadar penganjuran biasa tetapi muncul antara yang terbaik dalam sejarah penganjuran Sukan Sea.
“Kita dah perlu wujudkan hype Sukan Sea itu sendiri. Kita akan menjadi hos pada 2027. Jadi saya harap semua memainkan peranan masing-masing.
“KBS akan cuba sebaik mungkin untuk menganjurkan Sukan Sea ini dan menjadi antara yang terbaik.
“Ini sudah pasti memerlukan bantuan rakan media untuk memastikan ia dapat dijayakan dengan cemerlang,” katanya ketika Majlis Iftar Media di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.
Beliau menambah, pembentukan suasana keterujaan awal amat penting bagi memastikan sokongan rakyat terutama golongan muda.
Taufiq berkata, hubungan rapat antara kementerian dan pengamal media sangat penting dalam menyampaikan mesej berkaitan pembangunan belia serta sukan secara telus kepada rakyat.
“Media bukan sahaja bertindak sebagai medium penyampai maklumat malah menjadi jambatan utama yang menghubungkan kementerian dengan suara masyarakat di peringkat akar umbi.
“Program libat urus bersama media akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kementerian memahami isu sebenar di lapangan,” katanya.







