
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan dana berjumlah RM2.5 juta untuk membangunkan potensi belia dan menggalakkan penglibatan golongan itu dalam pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.
Peruntukan yang disalurkan menerusi Dana Bantuan (Pembangunan Belia dan Rakan Muda) itu selaras dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia Madani 2030 yang bertujuan memperkasakan golongan belia serta menyokong program pembangunan berinovatif dan berimpak tinggi.
“Peruntukan itu turut memberi manfaat kepada kelab atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia termasuk Kelab Rakan Muda (KRM), Sekretariat Rakan Muda Institusi Pengajian Tinggi (SRM IPT) dan Badan Operasi Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (BO ARPRM) untuk merancang program yang menyeluruh membabitkan peranan golongan belia.
“Penyaluran dana bantuan itu dilaksanakan secara terus kepada pemohon selepas kelulusan oleh jawatankuasa dan laporan keseluruhan pelaksanaan program perlu dikemukakan kepada KSB dalam tempoh 30 hari selepas pelaksanaan program,” kata kementerian itu menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, KBS menyeru semua pihak supaya mengambil peluang itu bagi menyokong usaha kerajaan ke aah pemerkasaan pembangunan belia dan mengukuhkan hubungan antara generasi muda masyarakat.
Maklumat lanjut mengenai peruntukan itu boleh didapati dalam laman web KBS iaitu https://www.kbs.gov.my/home