
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebebasan berkarya dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menambah, ia agar penggiat seni dapat menghasilkan karya yang lebih berani, berkualiti dan bermakna untuk masyarakat serta negara.
Anwar berkata demikian menerusi hantaran Facebook ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam yang merupakan seorang pengarah dan penerbit tersohor negara
Pertemuan tersebut bagi membincangkan perkembangan dan hala tuju industri perfileman tempatan.
“Dalam pertemuan ini, kami bertukar pandangan mengenai cabaran dan potensi industri kreatif, termasuk isu cukai hiburan yang dibangkitkan, yang akan diteliti dan dibincangkan lanjut bersama kerajaan negeri.
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap karya filem Sheriff: Narko Integriti sebelum ini yang menyentuh isu rasuah dan integriti, serta menghargai sokongan penggiat seni terhadap usaha kerajaan menjunjung keterbukaan dan kebebasan bersuara,” katanya.







