
KUALA LUMPUR: Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) memperkenalkan PROTON X50 serba baharu di Brunei dalam usaha memperluas pasaran eksport jenama berkenaan.
Naib Presiden PICSB, Wan We berkata, Brunei merupakan pasaran luar negara pertama yang memperkenalkan kenderaan utiliti sukan (SUV) X50 serba baharu sekali gus mencerminkan keyakinan PROTON terhadap Brunei sebagai pasaran eksport.
“Pengenalan SUV tersebut juga menekankan peranan penting Brunei dalam perjalanan antarabangsa PROTON.
“Dengan model seperti X50, PROTON berada pada kedudukan yang kukuh untuk mencapai sasaran eksport tahun ini.
“Ia sekali gus mempercepatkan usaha ke arah aspirasi jangka panjang syarikat untuk mencapai 330,000 unit menjelang 2030 dengan 30 peratus disumbangkan oleh pasaran eksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tahun ini, beliau menambah, Brunei dijangka terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan eksport PICSB dengan sasaran jualan sebanyak 1,000 unit.
Katanya, pencapaian tersebut akan disokong oleh pengenalan model-model yang dipertingkatkan cirinya seperti X50 serta pelancaran Saga serba baharu pada masa akan datang.
“Pada tahun lalu, PICSB mencatatkan jumlah eksport sebanyak 6,000 unit, dengan model X50 muncul sebagai antara penyumbang utama apabila merangkumi 29 peratus daripada keseluruhan jualan eksport.
“Ia mengukuhkan kedudukan X50 sebagai model pilihan di pasaran luar negara,” ujarnya.
Pasaran Brunei menawarkan tiga varian SUV PROTON X50 serba baharu iaitu Executive, Premium dan Flagship.





