
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan penyertaan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan sejak tiga tahun lalu bukan bertujuan menyelamatkan dirinya sebaliknya dibuat demi kestabilan negara dan kepentingan rakyat.
Berucap dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, beliau membidas dakwaan segelintir pihak yang berulang kali menuduh pembabitan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan hanya untuk melindungi kepentingan peribadinya.
“Itu hanya tuduhan. Kata mereka Zahid sudah selamat pun,” katanya yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Kenyataan itu dibuat susulan pengumuman Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Januari lalu yang memutuskan tiada tindakan lanjut diambil terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang melibatkan beliau.
AGC menjelaskan keputusan itu dibuat selepas meneliti keterangan sedia ada serta hasil siasatan susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didapati tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan.
Pasukan guaman Ahmad Zahid sebelum ini memaklumkan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi menukar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) kepada lepas dan bebas (DAA).
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut menepis dakwaan beliau mengabaikan semangat setiakawan terhadap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini menjalani hukuman penjara.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan sokongan UMNO terhadap Najib tidak pernah berubah dan usaha pembelaan terhadap bekas perdana menteri itu terus dilaksanakan.
“Menyebut nama Najib, sokongan kita tidak pernah goyah. Malah beliau sudah menghubungi saya untuk menyampaikan salam kepada seluruh perwakilan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan UMNO memohon kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mempertimbangkan meringankan hukuman Najib bagi membolehkan beliau kembali ke pangkuan keluarga.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, sebelum Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman itu kepada enam tahun dan denda RM50 juta.






