
KUALA LUMPUR: Wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan memohon maaf secara terbuka susulan soalan kontroversi yang diajukan semasa ceramah awam bertajuk Gaza Exposes the Complicity of International Actors pada 12 Januari lalu.
Dalam satu kenyataan, Rex menyatakan kekesalan mendalam terhadap soalan disifatkan dirangka dengan kurang baik, tidak relevan dengan konteks program serta gagal mengambil kira sensitiviti topik yang dibincangkan.
Dia secara khusus memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan tersebut, sambil menegaskan rujukan berkenaan tidak perlu dan sepatutnya dielakkan sama sekali.
“Saya amat kesal dengan soalan saya yang dirangka dengan kurang tepat, kegagalan menilai kesesuaiannya dengan acara ini serta kerana tidak mengambil kira sensitiviti isu yang dibincangkan.
“Yang paling penting, saya amat menyesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu yang sepatutnya tidak disebut langsung,” katanya menerusi kenyataan rasmi.
Rex turut mengakui rujukannya kepada Malaya dalam soalan berkenaan adalah keterlaluan, tidak relevan, mengelirukan dan sama sekali tidak perlu dalam perbincangan tersebut.
Dia mengakui kegagalannya menepati tahap profesionalisme sebagai seorang wartawan dan menegaskan dia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kontroversi yang tercetus.
“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pihak kerana ketidaktahuan saya sendiri telah mencetuskan isu ini.
“Saya berharap orang ramai tidak mengkritik FMT secara keterlaluan atau lebih teruk, menyerang keluarga dan insan tersayang saya,” katanya.
Dia turut menjelaskan soalan yang dikemukakan tidak menggunakan istilah apartheid atau membandingkan keadaan masyarakat Cina di Malaysia dengan situasi di Palestin dan perkara itu telah diperjelaskan semasa peluang bercakap kali kedua dalam ceramah berkenaan.
Rex dalam masa sama menegaskan sokongan penuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta membebaskan diri daripada pendudukan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki.
“Saya sekali lagi mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kontroversi dan ketegangan yang timbul. Saya memohon maaf dengan sepenuh hati atas kesilapan serius ini,” katanya.
Kontroversi tercetus selepas soalan yang diajukan Rex dalam ceramah yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway, menerima kritikan meluas pengguna media sosial.







