
KUALA LUMPUR: Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengusulkan penyatuan orang Melayu dilihat mampu memberi harapan baharu kepada parti itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, cadangan berkenaan berpotensi mencetuskan perubahan besar dan berharap ia mendapat sokongan semua pihak bagi membuka lembaran baharu pemikiran demi kelangsungan parti Melayu.
“Harapan rakyat Melayu khususnya telah banyak berubah dan dalam hampir lapan dekad ini, sudah tentu satu perubahan besar yang perlu kita ambil dan ambil kira ialah pandangan generasi muda.
“Saya suka dengan cadangan ini. Keseluruhan perwakilan bersetuju dengan Presiden UMNO, jadi saya harap perwakilan yang berbahas selepas ini akan berbahas dengan rasional dan memberi pandangan bagus supaya ia membuka pemikiran baharu dalam UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, pemikiran orang Melayu hari ini sangat berbeza, maka seruan Ahmad Zahid itu perlu ikhlas diterima dengan garapan strategi, termasuk mencipta bakat baharu sebagai pelapis pemimpin.
“Dalam apa sahaja perancangan, kita kena ada keikhlasan. Bila ikhlas disusuli strategi yang betul dan pemain dalam politik dalam parti ini juga mesti mereka yang betul ikhlas dan berbakat.
“Mana-mana parti perlu ada bakat. Kalau tidak ada bakat yang hebat, hayat parti ini akan sekejap sahaja. Apa yang penting kita perlu berubah mencari dan beri peluang kepada bakat baharu untuk ke hadapan bersama parti sebab tidak boleh lagi macam kita mula-mula merdeka dulu,” katanya




