
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuat kuasa Ahad ini bagi membantu menambah baik pendapatan pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga mengumumkan harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram, yang mana kos pengeluaran sebanyak RM150 juta akan diserap kerajaan untuk tempoh enam bulan ini.
“Ini ambil kira kos upah dan input pertanian seperti baja serta racun,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Pelarasan ini menyaksikan pesawah menikmati harga lantai belian padi baharu buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan kadar itu kepada RM1,300 bermula 1 Januari 2024.
Sebelum pengumuman itu, pengilang membeli padi daripada pesawah pada kadar minimum RM1,200 yang ditetapkan sejak 2014.
Sementara itu, Mohamad mengumumkan kementeriannya sedang memuktamadkan rundingan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi membolehkan penyelia perkhidmatan padi dan beras menikmati subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani.
Bulan lalu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mengadakan perhimpunan di Putrajaya yang antara lain menggesa kerajaan menyelaraskan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik.
Tuntutan itu dibuat susulan peningkatan operasi untuk menanam padi seperti kos sewaan jentera.
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor turut mengesyorkan harga lantai belian padi naik kepada RM1,800 per tan metrik, memandangkan pengguna ‘sudah biasa’ beli beras import berharga lebih RM40 bagi kampit 10kg.
Katanya, harga belian semasa RM1,300 adalah lebih rendah berbanding modal dianggar sekitar RM1,600 dikeluar pesawah susulan peningkatan kos input pertanian.