Konflik Lubnan-Israel: MALBATT 850-12 diberi taklimat khas
SHAH ALAM: Kerajaan memastikan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang diterbangkan ke Lubnan bermula hari ini hingga 18 November mendapat taklimat khas berkenaan keadaan semasa sebelum bertolak ke negara berkenaan.
Hal itu rentetan lebih 30 serangan didakwa dilakukan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) yang dilaporkan menyasarkan kem-kem Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sepanjang bulan lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kem yang menempatkan pasukan MALBATT di Kem Ma’rakah dan Tibinin dikelilingi kem yang menempatkan pasukan pengaman dari negara lain.
Menurutnya, sebelum menyertai pasukan misi pengaman itu, kesemua pegawai dan anggota dilatih di Malbatt Village, Port Dickson selama 12 minggu termasuk menjalani latihan psikologi.
“Mereka diberi pendedahan mengenai semua perkara, termasuklah budaya orang di sana dan ancaman yang boleh berlaku.
“Mereka juga perlu melakukan ujian psikologi supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan misi (fit for mission) di sana,” katanya kepada media, hari ini.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuha Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysia Batallion (MALBATT) 850-12 Ke Lubnan.
Dalam batalion kali ini, seramai 854 terdiri daripada 82 pegawai, 772 anggota lain-lain pangkat (LLP) serta tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan ditugaskan di Lubnan
Kesemua pegawai dan anggota itu diterbangkan ke negara berkenaan bermula hari ini iaitu seramai 220 orang diikuti pada 10 November (219), 14 November (207) dan 18 November (208).
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut memaklumkan kesemua anggota yang terlibat dalam misi UNIFIL iaitu MALBATT 850-11 berada dalam keadaan selamat dan akan dibawa pulang secara berfasa.