
PUTRAJAYA : Malaysia dijangka berdepan kenaikan kos bahan api bagi penjanaan elektrik berikutan konflik geopolitik yang masih berlarutan di Asia Barat.
Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh menjelaskan bahawa impak terhadap sistem tenaga negara setakat ini masih berada dalam keadaan terkawal memandangkan sebahagian besar bekalan gas diperoleh daripada sumber domestik.
Beliau menambah, sekitar 80 peratus gas yang digunakan untuk penjanaan elektrik di negara ini datang dari sumber dalam negara sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan serta pendedahan kepada ketidaktentuan harga di pasaran global.
“Bagaimanapun, kita masih terkesan kerana ia berkait dengan harga rujukan pasaran (MRP),” katanya dalam sesi soal jawab bersama media selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026, di sini hari ini.
Siti Safinah berkata, peningkatan kos bahan api dijangka akan mula diterjemahkan ke dalam sistem tenaga melalui mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA).
“Masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan itu mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding beberapa negara lain tetapi masih ada kenaikan kos.
“Pelarasan melalui AFA dibuat secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10 peratus, manakala sebarang peningkatan melebihi paras itu memerlukan kelulusan kerajaan,” jelasnya.
Beliau memberitahu, kos berkenaan perlu dibayar tetapi bagaimana ia disalurkan bergantung kepada keputusan kerajaan.
Dalam pada itu, Siti Safinah berkata, situasi global turut menyaksikan peningkatan harga arang batu apabila negara-negara lain beralih kepada sumber tersebut berikutan kekangan bekalan gas.
“Seperti yang kita lihat dalam situasi krisis sebelum ini khususnya pada 2022 semasa krisis Ukraine–Rusia, apabila bekalan gas menjadi ketat secara global, dunia cenderung beralih semula kepada arang batu. Ini menyebabkan harga arang batu meningkat,” katanya.







