
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian, bagi memastikan aspek keselamatan murid terpelihara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, audit itu memberi tumpuan kepada pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang terkait dengan aspek keselamatan.
“Hasil laporan audit ini akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan. Kementerian juga akan menambah baik SOP keselamatan sekolah dan langkah-langkah bagi menangani isu disiplin termasuk salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM.
“SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan, dipermudahkan dan mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi.
Beliau berkata, pihaknya akan menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan KPM, bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan.
“Keahlian jawatankuasa ini melibatkan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).
“KPM tidak berkompromi terhadap salah laku buli dan tindakan tegas mesti diambil termasuk menerusi hukuman gantung dan buang sekolah,” katanya.
Katanya, program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang menumpukan kepada aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.
“Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang tidak menguruskan aduan buli berdasar kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.
“Aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” katanya, menambah Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli,” katanya.
Tambahnya, KPM menyeru semua pihak untuk bekerjasama menangani salah laku buli secara menyeluruh dan bersepadu.