
KUALA LUMPUR: Golongan lelaki disaran lebih peka terhadap kesihatan diri dengan menjalani pemeriksaan kesihatan asas seawal usia 20-an bagi mengesan dan menangani sebarang risiko penyakit pada peringkat awal.
Ketua Penolong Pengarah Pusat Kepakaran Subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Ahmad Zaki Asraf berkata pemeriksaan kesihatan tidak seharusnya hanya dilakukan apabila seseorang mula mengalami simptom atau memasuki usia 40-an.
“Seawal 20-an kita dah boleh mulakan pemeriksaan asas, pantau berat badan, tekanan darah, paras gula dan tahap kolesterol serta pilih pemakanan yang sihat, kurang gula dan kurang garam,” katanya dalam Podcast KASIH Lensa Keluarga Musim Kedua bertajuk “Lelaki Budiman: Sihat Sepanjang Hayat”.
Mengulas kepentingan saringan mengikut peringkat usia, Dr Ahmad Zaki berkata lelaki berusia 40-an perlu memberikan perhatian lebih serius terhadap kesihatan kerana penyakit kronik berpotensi menyebabkan komplikasi sekiranya tidak dikesan dan dirawat lebih awal.
Beliau berkata bagi golongan berusia 60 tahun ke atas pula, komplikasi penyakit yang tidak dicegah atau dikawal sejak awal boleh menyebabkan kemerosotan fungsi kesihatan, termasuk masalah jantung, penglihatan dan pendengaran, selain menjejaskan hubungan dalam keluarga.
Dalam pada itu, beliau berkata masalah berat badan berlebihan dan obesiti juga tidak boleh dipandang ringan kerana keadaan itu boleh mempengaruhi keseimbangan hormon, kesihatan seksual dan kesuburan lelaki, selain meningkatkan risiko masalah kardiovaskular.
“Dalam rawatan, langkah pertama bukan ubat atau pembedahan, sebaliknya perubahan gaya hidup termasuk menjaga badan, pemakanan, bersenam, mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi serta mengurus emosi dan keharmonian rumah tangga,” katanya.
Dr Ahmad Zaki berkata tekanan kerja berpanjangan, kurang tidur, pemakanan tidak terkawal dan kekurangan aktiviti fizikal boleh mewujudkan kitaran negatif yang menyebabkan lelaki semakin letih, kurang bersenam dan mengalami peningkatan berat badan, sekali gus berpotensi menjejaskan hubungan suami isteri.
Aspek kesihatan dan kesuburan lelaki juga wajar diberi perhatian lebih awal kerana faktor gaya hidup dan kesihatan keseluruhan boleh memainkan peranan terhadap kesejahteraan lelaki serta pasangan.
LPPKN menyediakan saringan kesihatan dan kesuburan lelaki termasuk pemeriksaan paras gula, kolesterol, tekanan darah, berat badan, indeks jisim badan (BMI), ujian air mani serta saringan penyakit berjangkit menerusi perkhidmatan Klinik Kesejahteraan Lelaki di tujuh lokasi di seluruh negara.
“Lebih awal, lebih baik kerana kita nak pasangan dan lelaki-lelaki ini supaya lebih awal mendapatkan saringan untuk kita kenal pasti kalau ada punca masalah supaya kita dapat bantu rawat dan sebagainya,” katanya. – BERNAMA






