KUALA LUMPUR: Selangor FC mengumumkan pemain tengah kelahiran Perancis, Mahame Siby, menyertai Red Giants pada jendela perpindahan kedua musim 2025/26.
Siby menjadikan Selangor FC sebagai kelab pertamanya di Asia dan bersedia keluar daripada zon selesa malah teruja untuk merasai serta menyesuaikan diri dengan budaya tempatan.
“Saya bersedia untuk keluar daripada zon selesa dan menyahut cabaran baharu di tempat yang tidak pernah saya kunjungi sebelum ini terutamanya di Asia.
“Saya tidak sabar untuk meneroka keindahan budaya Malaysia, membina hubungan erat dengan masyarakat negara ini dan belajar daripada pengalaman yang akan saya peroleh sepanjang perjalanan ini.
“Saya berharap dapat membalas kepercayaan mereka (penyokong Selangor) dengan memberikan komitmen maksimum dan segala yang saya miliki di atas padang,” katanya.
Pemain berusia 29 tahun itu menambah, dia ingin meninggalkan impak yang positif dan berkekalan bukan sahaja kepada penyokong malah kepada kelab ini.
Siby merupakan produk akademi AF Bobigny dan memulakan kerjaya profesional bersama kelab tersebut dengan mencatat 25 penampilan.
Sebelum melangkah ke Ligue 1 bersama RC Strasbourg, pemain berusia 29 tahun itu beraksi bersama Valenciennes FC.
Pada tahun 2021, Siby dipinjamkan ke Paris FC dan berjaya membina reputasi lebih kukuh dengan 27 penampilan.
Dia mengembangkan kerjaya bersama kelab Malmö FF di Sweden dan membantu pasukan itu menjuarai Allsvenskan pada tahun 2023.
Siby kembali ke Perancis secara pinjaman, beraksi bersama SC Bastia dengan 15 penampilan dan FC Martigues dengan 31 penampilan.
Secara keseluruhan, dia merekodkan 129 penampilan kompetitif, menjaringkan empat gol dan mencatat tiga bantuan gol
