KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengekalkan dasar melarang eksport unsur nadir bumi mentah (REE) bagi memastikan pembangunan industri hiliran tempatan serta meningkatkan nilai tambah dalam negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia menggalakkan pelaburan asing dan perkongsian teknologi dalam aktiviti perlombongan REE bagi membangunkan ekosistem industri domestik yang bersepadu.
“Sehubungan ini, Malaysia mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak Amerika Syarikat (AS) mahupun negara negara lain dalam pembangunan industri REE tempatan terutamanya potensi kerjasama tripartite antara pihak Malaysia, AS dan Australia (Lynas),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan khas mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul menegaskan, perjanjian ART akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara bagi melindungi sektor strategik serta membuka peluang baharu kepada rakyat dan industri tempatan.
“Dasar kita ialah untuk menghalang eksport bahan mentah murah yang tidak diproses, supaya nilai tambah berlaku dahulu di Malaysia.
“Prinsip sama terpakai kepada REE dan mineral kritikal. Selepas diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan piawaian kita sendiri dan selepas nilai itu dicipta di sini, produk hiliran bernilai tinggi boleh dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa senarai perolehan di bawah ART bukan komitmen baharu dan tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan, sebaliknya cadangan perolehan sedia ada syarikat.
Antara contoh yang dikemukakan termasuk pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group dan cadangan perolehan gas asli cecair (LNG) oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dari AS sebagai langkah memastikan kestabilan bekalan tenaga.
“Keputusan ini bersifat komersial dan bukan arahan politik daripada Washington,” katanya.
