SEREMBAN: Polis mengesahkan mayat ditemui dalam beg yang ditanam dekat sebuah rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau, pada 18 Disember lalu sebagai Suri Narudin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan identiti itu dilakukan melalui cap jari yang diperoleh dan keputusannya sepadan dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan bahawa cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam sistem JPN.
“Ia atas nama Suri Narudin yang dilaporkan hilang berdasarkan laporan di Balai Polis Ampang pada 15 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis menemui mayat seorang wanita dalam beg yang ditanam di sebuah rumah tidak berpenghuni di Batu 4 Pedas, pada 18 Disember lalu.
Susulan itu, dua lelaki ditahan masing-masing di Melaka dan Genting Sempah, kurang 24 jam selepas penemuan mayat itu dengan salah seorang daripadanya adalah suspek utama berusia 51 tahun dikatakan mengenali mangsa.
