KUALA LUMPUR : Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan Selangor mencatat kos kehidupan wajar tertinggi bagi semua saiz isi rumah, melalui Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, analisis Indeks PAKW 2024 menunjukkan perbezaan jelas kos kehidupan wajar antara negeri bagi semua saiz isi rumah.
“PAKW merupakan indikator baharu bagi mengukur tahap perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk mengekalkan kehidupan wajar merentas negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri.
“Indeks berkenaan menggunakan Kuala Lumpur sebagai rujukan dengan nilai 100, manakala lokasi lain diukur secara relatif, dengan nilai lebih rendah menunjukkan keperluan perbelanjaan rendah dan nilai lebih tinggi mencerminkan kos kehidupan wajar yang tinggi,”katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, bagi isi rumah seorang, Selangor mencatat indeks tertinggi pada 92.0 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1) manakala Kelantan Sarawak serta Kedah merekodkan nilai terendah.
Katanya, corak hampir sama direkodkan bagi isi rumah dua, tiga dan empat orang, dengan Selangor kekal mencatat indeks tertinggi manakala Kelantan, Kedah, Perlis serta Sabah berada pada paras lebih rendah tetapi masih mencerminkan kehidupan yang wajar.
“Berdasarkan analisis tersebut, kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur, manakala bagi isi rumah empat orang di Perlis, perbelanjaan wajar adalah 39.1 peratus lebih rendah berbanding ibu negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata, peringkat daerah pentadbiran pula, hanya Petaling di Selangor mencatat Indeks PAKW melebihi Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah manakala Pantu di Sarawak dikenal pasti sebagai daerah dengan kos kehidupan wajar terendah.
Beliau menambah, bagi isi rumah seorang, kos kehidupan wajar di Pantu ialah 72.2 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur manakala bagi isi rumah empat orang perbezaannya mencecah 68.1 peratus.
“Di peringkat ibu negeri, Shah Alam merekodkan Indeks PAKW tertinggi bagi semua saiz isi rumah dan melepasi nilai rujukan Kuala Lumpur manakala Kangar kekal sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar terendah,” katanya
Kalkulator MyPAKW 2024 turut dikemas kini bagi membolehkan isi rumah menganggarkan perbelanjaan kehidupan wajar berdasarkan lokasi dan demografi, dengan aplikasi mudah alih dijangka tersedia mulai Februari 2026.
