KUALA LUMPUR: Isu bidding dalam kalangan pemandu e-hailing akan menjadi antara agenda awal Majlis Perundingan Gig yang bakal ditubuhkan bagi memastikan keseimbangan kepentingan pemandu, platform dan pengguna.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, majlis berkenaan akan ditubuhkan sebaik Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 dikuatkuasakan selaras peruntukan Bahagian VI rang undang-undang itu.
KESUMA menambah, Majlis Perundingan Gig berperanan sebagai platform tripartit melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak bagi menasihati kerajaan mengenai kadar pendapatan minimum, formula serta standard minimum, selain isu kebajikan dan kepentingan pekerja gig.
“Majlis Perundingan Gig juga akan menjadi platform dialog dan rundingan berterusan berkaitan dasar serta isu-isu yang timbul dalam sektor gig.
“Ia termasuk usaha memastikan pekerja gig memperoleh pendapatan yang lebih stabil, adil dan mampan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan merujuk laporan media tempatan berkait isu penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar-menawar atau bidding yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pekerja gig kepada Kementerian Pengangkutan.
KESUMA menegaskan, kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dalam menangani isu ini secara menyeluruh demi menjaga kebajikan pekerja gig dan kelestarian ekosistem ekonomi platform di negara ini.
Katanya, Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos dan September lalu dan kini sedang dalam proses pewartaan.
“RUU ini dicadang untuk dikuatkuasakan pada tahun 2026,” ujar kenyataan itu.
