
KUALA LUMPUR: Inisiatf Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) 1.0 muncul sebagai pencetus perubahan apabila lebih 8,000 rakyat Malaysia berketurunan India dilatih dalam bidang kemahiran tinggi yang menjadi rebutan majikan masa kini.
Dilancarkan pada November 2024 melalui kerjasama strategik antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), MITRA, dan Kementerian Kewangan, program bernilai RM30 juta ini pada asalnya menyasarkan 5,000 peserta namun mengatasi jangkaan dengan peningkatan 60 peratus jumlah peserta.
Sepanjang tempoh pelaksanaannya, sebanyak 149 program latihan dijalankan di seluruh negara, membuka peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti lepasan sekolah, ibu tunggal, golongan B40, bekas banduan, pekerja gig dan juga mereka dalam industri kreatif.

Bidang latihan yang ditawarkan daripada Penjagaan Kanak-Kanak, Terapi Spa, dan Penyelenggaraan Motorsikal Berkuasa Tinggi, sehinggalah ke Pemasaran Digital, Fotografi Visual AI dan Pembaikan Komputer Riba.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, kejayaan MISI 1.0 bukan sekadar angka, tetapi cerminan kepada satu anjakan sosial.
“Ini bukan sekadar tentang kemahiran tetapi ini tentang memberi rakyat peluang untuk membina masa depan. Kita sedang melahirkan tenaga kerja yang lebih bersedia, yakin dan relevan dengan keperluan ekonomi moden,” ujarnya.

Kejayaan MISI 1.0 menjadi pemangkin kepada pelancaran MISI 2.0, yang dijangka menyediakan lebih banyak peluang latihan kali ini dengan sokongan penempatan pekerjaan secara langsung, menjadikan laluan kerjaya peserta lebih jelas dan berstruktur.
Antara bidang strategik yang ditawarkan termasuk:
- Elektrikal & Elektronik (E&E): Reka bentuk IC, fabrikasi wafer, EMS
- Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT): Pembangunan perisian, AI, keselamatan siber, pengkomputeran awan
- Aeroangkasa: Penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO), pembuatan
- Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS): Sumber manusia, kewangan, khidmat pelanggan
Setiap program akan dijalankan antara satu hingga 6 bulan, dan peserta akan menerima sijil yang diiktiraf industri selepas tamat latihan.
Semua modul dirangka dengan penglibatan terus daripada majikan, bagi memastikan peserta benar-benar bersedia untuk diserap ke pasaran kerja.
Dengan fokus kepada industri berimpak tinggi dan jurang kemahiran nasional, MISI 2.0 bukan sahaja sebagai platform latihan, tetapi juga sebagai jalan keluar daripada pengangguran dan pekerjaan tidak setara.
Bagi mereka yang ingin menyertai gelombang perubahan ini, maklumat lanjut boleh diperoleh di www.misiofficial.com