KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara ,Tan Sri Razarudin Husain mengucapkan takziah kepada ahli keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan jalan raya di Teluk Intan, Perak, pagi tadi.
Sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sembilan anggota disahkan terkorban dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam itu manakala sebahagian lagi dalam keadaan kritikal selain cedera ringan.
Razarudin berkata, beliau mewakili warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasa sedih dengan insiden yang menimpa semua mangsa terbabit.
Katanya, jasa anggota FRU yang terkorban amat dihargai terutama apabila kemalangan itu berlaku selepas mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan.
“PDRM akan memastikan kebajikan keluarga semua anggota yang terkorban dan mengalami kecederaan dalam kejadian ini diberikan perhatian sebaiknya,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon memaklumkan, nahas itu membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU membawa 15 anggota.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin pula berkata semua anggota FRU terbabit adalah dari Unit 5 Sungai Senam, Ipoh.
