KUALA LUMPUR: Penyanyi rap kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee dilepaskan dan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan menggunakan dadah.
Majistret S. Arunjothy membuat keputusan tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan mahkamah keputusan ujian air kencing tertuduh didapati negatif.
Berikutan perkembangan itu, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap tertuduh.
Peguam bela tertuduh, Joshua Tay kemudian memohon mahkamah mengeluarkan perintah pelepasan dan pembebasan sepenuhnya (DNAA) terhadap anak guamnya.
“Dengan keputusan ujian yang negatif, tiada lagi asas untuk mendakwa beliau semula,” katanya.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan membebaskan Meng Chee sepenuhnya daripada pertuduhan berkenaan.
Sebelum ini, Meng Chee mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya berkaitan pemilikan dan penggunaan dadah.
Kes berkaitan pemilikan dadah yang dihadapinya dijadualkan untuk sebutan semula pada 19 Januari tahun depan.
Pada 22 Oktober lalu, penyanyi rap itu ditahan di sebuah hotel di ibu negara selepas polis menemui sembilan pil biru yang disyaki dadah jenis ekstasi di dalam bilik penginapannya.
Polis sebelum ini memaklumkan ujian saringan awal mendapati dia positif amphetamine, methamphetamine, ketamine dan THC, sebelum pertuduhan dikemukakan di mahkamah dua hari kemudian.
Selain itu, pemuzik berkenaan juga pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pempengaruh dari Taiwan, Hsieh Yun Hsin, namun dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat.
