
RAWANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui menemui paip yang meletup dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, awal bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata paip berkenaan kini dalam kajian forensik oleh polis serta pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan laporan awal siasatan dijangka diperoleh pada minggu hadapan.
“Setakat ini siasatan kes itu hampir selesai dan sedang dilengkapkan.
“Siasatan masih lagi berjalan dari segi kecuaian atau khianat dan satu lagi siasatan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) masih berjalan juga.
“Jadi kita tunggu dalam seminggu lagi, kita akan keluarkan laporan awal iaitu hasil dapatan di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Bandar Country Homes di sini, hari ini.
Terdahulu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan balai polis berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Pada 1 April lalu, saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, meletup sebelum terbakar pada jam 8.10 pagi mengakibatkan 219 buah rumah terjejas, manakala 220 buah rumah disahkan selamat dan tidak terkesan.
Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan teruk, manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus.





