
KUALA LUMPUR: Filem animasi Papa Zola The Movie mencatat kutipan RM10 juta selepas empat hari tayangan.
Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berkata, sebagai filem animasi pertama Papa Zola, ia merupakan kejutan bagi warga kerja MONSTA.
“Terima kasih pada yang sudah menonton. Kami tidak sangka Papa Zola The Movie mendapat tempat di hati penonton,” ujarnya.
Pengarah dan penulis Papa Zola The Movie itu menambah, filem animasi berkenaan mempunyai dua garis masa berbeza iaitu ketika Papa Zola masih muda (Operatif Zola) dan satu lagi selepas dia berhenti sebagai kapten TAPOPS.
Katanya lagi, filem tersebut berlatar belakangkan Papa Zola menempuh alam dewasa, membesarkan anak dan menanggung keluarga.
“Nama Papa Zola sebenarnya hanyalah Zola. P.A.P.A. ialah Protect And Prevent Agency, sebuah agensi rahsia yang ditugaskan melindungi bumi dari serangan makhluk asing.
“Papa Zola muncul buat pertama kali di hujung BoBoiBoy Musim 1 (2011),”ujarnya.
Papa Zola The Movie merupakan filem animasi terbitan MONSTA dan Astro Shaw.
Ia kini ditayangkan di Malaysia, Singapura, Brunei dan akan melangkah ke pasaran antarabangsa mulai Januari 2026 di beberapa negara Asia dan Timur Tengah.







