PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah pada 24 Januari tahun hadapan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan ditetapkan pada 10 dan 20 Januari.
“Daftar pemilih bagi PRK berkenaan mengandungi seramai 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 polis yang merupakan pengundi awal.
“Peruntukan bagi mengadakan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag berjumlah RM10 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Menara SPR di sini hari ini.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang diadakan 29 November lepas, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-10, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal.
