
KUALA LUMPUR : Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Adam Adli Abdul Halim kini memangku tugas Pengerusinya, berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, ketetapan itu dibuat susulan keputusan parti untuk merehatkan Datuk Shamsul Iskandar Mohd. Akin daripada menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN Melaka.
Menurutnya, Adam Adli akan menjalankan tanggungjawab berkenaan sehingga dimaklumkan kelak.
“Adam Adli akan menjadi pemangku pengerusi MPN Melaka berkuat kuasa 15 Disember 2025.
“Jawatan Shamsul Iskandar sebagai Ketua Cabang Hang Tuah Jaya kekal,” menurut kenyataan itu.
Pada November lalu, Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri selepas dikaitkan dengan kontroversi rasuah melibatkan ahli perniagaan, Albert Tei dalam skandal perlombongan.
Shamsul Iskandar dan Albert Tei berdepan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Mereka turut berdepan pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam melibatkan jumlah RM64,924 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.







