KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka mengemukakan laporan kes tembakan mati di Melaka kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menerima jaminan daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, bahawa siasatan rapi dan telus diadakan tanpa ada tolak ansur.
“Laporan polis dikemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Pada 24 November lalu, tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka menyerang anggota polis menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Sementara itu, pada 3 Disember lalu, media melaporkan ahli keluarga tiga penjenayah terbabit menolak dakwaan bahawa ketiga-tiga suspek yang mati itu bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek lelaki yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
Kejadian tembak menembak berlaku sekitar pukul 4.30 pagi apabila tiga lelaki ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Akibat serangan tersebut, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1.35 juta.
