
SHAH ALAM : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan terdapat unsur penglibatan individu dari dalam yang membantu sindiket pengedaran dadah menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai laluan untuk menyeludup bahan terlarang ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, aspek berkenaan menjadi antara fokus utama siasatan susulan peningkatan cubaan sindiket menjadikan KLIA sebagai transit bagi aktiviti penyeludupan dadah.
Beliau berkata, sindiket tidak semestinya menganggap sistem keselamatan di KLIA mudah dibolosi, sebaliknya mengambil peluang terhadap sebarang kelemahan atau ruang yang boleh dieksploitasi.
“Kalau hendak kata mudah, tidak, mungkin ada kelonggaran tertentu yang digunakan oleh sindiket untuk membawa keluar dadah melalui KLIA.
“Walaupun banyak rampasan dan tangkapan dibuat oleh PDRM bersama pihak berkuasa lapangan terbang, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia, masih ada cubaan membawa keluar dadah melalui KLIA,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas persepsi sindiket yang dilihat terus menjadikan KLIA sebagai laluan utama penyeludupan dadah.
Dalam pada itu Hussein, sindiket akan terus mengulangi percubaan kerana percaya sebahagian penghantaran mereka berjaya melepasi pemeriksaan.
“Mereka akan terus mencuba, kalau cuba 10 kali, mungkin dua atau tiga kali berjaya, sebab itu mereka tidak pernah berputus asa.
“Mereka tahu ada cubaan yang berjaya melepasi kawalan, jadi mereka akan terus mengulangi percubaan membawa keluar dadah melalui KLIA.
“Ini antara aspek yang sedang dilihat oleh PDRM, termasuk sama ada wujud penglibatan orang dalam,” katanya.




