PEKAN: Seorang pelajar maahad tahfiz maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan sawit di KM60 Jalan Pekan-Rompin, dekat Kampung Merchong, Nenasi, Pahang malam tadi.
Dalam kejadian 11.05 malam itu, mangsa, Muhammad Fakhri Waqiuddin Basri, 22, berasal dari Bandar Indera Mahkota, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Pekan, Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Pekan menuju ke Rompin, manakala lori muatan sawit bergerak dari arah bertentangan.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.
“Akibat pertembungan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Pemandu lori berusia 28 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan berhati-hati terutamanya ketika musim hujan dan di jalan yang berliku bagi mengelak kejadian tidak diingini.
