
KUALA LUMPUR: Penjaga gol skuad Harimau Malaya B-16, Adrian Muslim Sufian dipilih memikul tanggungjawab sebagai ketua pelajar di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) di Gambang, Pahang.
Pemain Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) B-17 itu kini menuntut di tingkatan lima sekolah berkenaan merupakan anggota skuad Harimau Malaya B-16 yang beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Vietnam, November lalu.
Anak kelahiran negeri Selangor itu, merupakan pelatih AMD sejak tahun 2022 terlibat dalam beberapa kejohanan penting termasuk Liga KPM Bawah 14 pada tahun 2022 dan 2023, Liga KPM Bawah 17 serta Piala Belia (2024).
Adrian mendapat pendidikan awal di Regent International School, Klang, Selangor sebelum meneruskan pengajian di SSMP bermula tahun lalu.

Pada tahun ini, Adrian sekali lagi mencatat pencapaian tersendiri apabila terpilih untuk mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus mencerminkan keseimbangan antara akademik serta sukan.
Sebagai atlet muda negara, kepadatan jadual Adrian dengan latihan intensif dan pembabitan di dalam kejohanan kebangsaan tidak menjadi penghalang dalam memberi komitmen kepada akademik serta disiplin sekolah.
Pelantikan Adrian sebagai Ketua Pelajar membuktikan bahawa kecemerlangan sukan tidak menghalang kecemerlangan sahsiah.
Di SSMP, jawatan Ketua Pelajar bukan sekadar simbol tetapi merupakan amanah untuk menjadi suara pelajar, penghubung dengan pentadbiran sekolah dan ikon disiplin serta integriti.
Dalam usia muda, dia membuktikan kepimpinan bukan ditentukan oleh gelaran semata-mata tetapi diterjemah melalui sikap dan tindakan.







