
Kuala Lumpur: Program Dharma MADANI inisiatif Kerajaan MADANI untuk memberikan bantuan sekali beri (One-Off) sebanyak RM20,000 kepada 1,000 rumah ibadat Hindu di seluruh negara dengan peruntukan sejumlah RM 20 juta merupakan satu pendekatan yang penuh bersejarah yang dapat memperkasakan rumah ibadat.
Terima kasih kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang telah mengusahakan dan mengangkat cadangan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Buat julung kalinya program ini dilaksanakan dibawah MITRA yang memberi manfaat bukan sahaja kepada 1,000 kuil di seluruh negara, malah kepada komuniti India secara keseluruhan. Dana tersebut dapat digunakan untuk aktiviti komuniti, keagamaan dan program-program yang dapat memberi manfaat kepada komuniti India setempat” kata Dr. Gunarajah, ADUN Seri Sentosa .
Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, Program Dharma MADANI ini dapat membantu kuil memberikan bantuan kebajikan melalui pusat komuniti yang dikendalikan oleh kuil tersebut khususnya kepada golongan B40.
Pada masa yang sama, Mathuraveran a/l KR Chandran Pengerusi Kuil Sri Maha Kaliamman dari Johor Bharu juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri R Ramanan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas usaha gigih untuk membawa inisiatif ini dilaksanakan buat julung kali melalui MITRA.
“Dana ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada komuniti India untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, program keagamaan, serta inisiatif pembangunan sosial yang menyatukan dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat.” kata Pengerusi Persatuan Penganut Sri Maha Kaliamman Kota Impian.
Manakala Satthiyah A/L Murugan Pengerusi Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman Ladang Pengkalan Durian, Negeri Sembilan juga berkata “bagi pihak kuil pula, bantuan ini amat bermakna kerana ia dapat dimanfaatkan untuk penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur agar lebih selesa kepada penganut, selain menyokong penganjuran aktiviti keagamaan dan kebudayaan yang menghidupkan semangat perpaduan komuniti.”
“Pada masa yang sama, kuil dapat terus berfungsi sebagai pusat komuniti setempat melalui penganjuran kelas tuisyen, bengkel belia dan aktiviti pembangunan sosial.
“Bantuan ini juga membolehkan kuil melaksanakan program kebajikan seperti bantuan makanan dan sokongan pendidikan kepada anak-anak yang memerlukan. Lebih penting lagi, ia memastikan identiti, tradisi dan warisan masyarakat India terus terpelihara kerana kuil bukan sekadar tempat ibadat, tetapi nadi spiritual, budaya dan kebajikan masyarakat.” katanya.
Beliau juga menyatakan “Kami percaya Program Dharma Madani ini bukan sekadar simbol bantuan kewangan, tetapi juga satu pengiktirafan bahawa rumah ibadat Hindu adalah pusat perpaduan, kebajikan dan warisan yang harus terus dipelihara. Kami menyokong penuh inisiatif ini dan akan terus bersama memperjuangkan agenda pembangunan serta pemerkasaan komuniti India di bawah naungan Malaysia MADANI.”
Pada hari Rabu yang lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India telah mengumumkan lima inisiatif bagi memperkasakan masyarakat India, khususnya golongan B40, yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Inisiatif Masyarakat India (MITRA) Bilangan 2/2025 yang dipengerusikanya dan akan dilaksanakan segera serta berkesan antaranya ialah Program Dharma MADANI yang melibatkan peruntukan sebanyak RM20 Juta.