
PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berharap pelaksanaan pusingan kerja dalam kalangan penjawat awam akan mewujudkan suasana kerja lebih kondusif.
Beliau berkata, pelaksanaan pusingan kerja bagi mereka yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan mampu menangani masalah integriti yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Apa yang diungkapkan oleh KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar), saya fikir sangat bertepatan buat kami, di KDN (Kementerian Dalam Negeri) ada agensi yang membabitkan perkhidmatan kaunter dan paling popular ialah Jabatan Imigresen, ada Jabatan Pendaftaran dan sebagainya.
“Ya banyak sistem (kaunter perkhidmatan) adalah berasaskan secara langsung dengan rakyat, jadi apa reaksi saya? Saya mengalu-alukan perkara ini,” katanya selepas meninjau reruai pada EXPO dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Semalam, ketika menyampaikan Amanat Tahun 2025, Shamsul Azri mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti dan melaksanakan pusingan kerja bagi kakitangan yang berkhidmat lebih lima tahun di kaunter perkhidmatan kerajaan.