
KUALA LUMPUR: Sebarang siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijalankan secara telus, bebas dan profesional bagi memastikan hak serta keadilan pendeposit dan rakyat Malaysia terpelihara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, siasatan juga mesti berlandaskan fakta dan undang-undang bagi mendapatkan gambaran yang tepat.
“Di luar sana, isu ini menjadi pertikaian, perbahasan dan tuduh menuduh banyak pihak hingga perkataan seperti ‘fitnah’ digunakan secara meluas. A mengatakan B memfitnah, C mendakwa difitnah oleh D dan bermacam-macam lagi. Sukar untuk dicerap siapa sebenarnya mangsa fitnah dan siapa yang memfitnah.
“Kesannya, sebahagian besar rakyat semakin keliru. Maka, langkah selanjutnya untuk membuat tindakan penyiasatan di peringkat agensi penguatkuasaan berkaitan adalah amat dialu-alukan,” katanya dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan laporan RCI TH di Parlimen hari ini.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, selain siasatan dan tindakan segera terhadap dapatan laporan RCI itu, setiap syor penambahbaikan juga wajar diteliti sebaiknya untuk melengkapkan proses pemulihan TH.
Turut berbahas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyokong supaya pengurusan haji dikekalkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala perkara berkaitan kewangan dan pelaburan pula di bawah Menteri Kewangan.
Beliau berkata, pembahagian tersebut merupakan satu bentuk pengkhususan tanggungjawab berdasarkan bidang kepakaran dan sifat tugas, selain dapat mengurangkan pertindihan tanggungjawab serta memastikan setiap perkara dikendalikan dengan kepakaran dan sokongan bersesuaian.
Mengenai lantikan politik dalam lembaga pengarah, Nancy berkata persoalan utama bukan semata-mata sama ada seseorang itu merupakan lantikan politik, sebaliknya sama ada individu berkenaan mempunyai integriti, kelayakan, pengalaman, kepakaran dan kemampuan untuk melaksanakan amanah diberikan.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti laporan RCI TH yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas, setelah kerajaan memutuskan bahawa laporan itu perlu diketahui rakyat.
Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.





