KUALA LUMPUR: Saiz sesebuah negara tidak boleh dijadikan sebagai ukuran untuk menilai keupayaannya dalam berdepan cabaran ekonomi, politik dan sosial.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, ia bergantung kepada kebijaksanaan perbincangan yang dibawa oleh sesebuah negara itu, termasuk Malaysia dalam mengukuhkan hubungan diplomatik yang sudah lama terjalin dan disokong dengan prinsip perdagangan bebas.
“Memang Malaysia negara yang kecil jika mahu dibandingkan dengan kuasa ekonomi dunia, namun itu tidak bermakna kita tidak boleh tampil ke depan dan menonjol dalam pembangunan ekonomi.
“Saya percaya, Amerika Syarikat (AS) antara negara yang memandang tinggi dan menghormati Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka di peringkat global, bahkan mengakui kepentingan kewujudan perdagangan dua hala yang terbentuk sebelum ini,” katanya kepada Ceritera.
Sebelum ini, kerajaan mengatur enam strategi bagi memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka pendek serta sederhana, termasuk bagi mendepani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).
Kesemua strategi itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan penerangan dalam sesi mesyuarat khas berkenaan tarif AS di Dewan Rakyat.
Antara enam strategi itu ialah memantau petunjuk ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata, bagi strategi kedua, rundingan penyelesaian tarif timbal balas dengan AS akan diteruskan dan menambah baik hubungan perdagangan serta pelaburan dua hala.
“Ketiga, membantu pengeksport terjejas khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala keempat, menggalakkan kerjasama serantau serta pasaran baharu.
“Strategi kelima mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan kerajaan dan yang keenam, meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi madani,” katanya.
Dalam pada itu, Bashir menjelaskan, keenam-enam strategi itu bergantung kepada pelbagai aspek seperti adakah perjalannya mengikut perancangan yang ditetapkan, kerjasama dengan negara-negara terlibat dan tumpuan perdagangan serta pelaburan dengan negara lain seperti Eropah, Asia Barat dan Amerika Selatan.
Beliau berkata, sekiranya aspek-aspek berkenaan dapat dipatuhi dan berjalan lancar, kesemua enam strategi yang dirancang boleh memberi faedah besar serta berkesan terhadap ekonomi Malaysia.
“Keenam-enam strategi itu boleh menjadi benteng kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih berdaya saing dan kompetitif di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Bashir berpandangan, ASEAN mampu memperkasakan lagi ekonomi serantau sekiranya menaikkan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) sebagai satu kesatuan yang berkuasa global.
Katanya, perkara itu boleh dilakukan dengan pelaksanaan tarif yang teratur, selain mengukuhkan industri pertanian dan pemakanan di ASEAN.
“Negara ASEAN sememangnya kaya dengan sumber pertanian dan banyak dieksport ke negara luar. Jadi, ASEAN boleh menggunakan kesemua sumber itu untuk mengikat kuasa-kuasa utama ekonomi dunia.
“Tidak perlu mencari pasaran baharu jika asas kepada AFTA dan kekuatan sektor utamanya tidak diperkemaskan,” katanya.
