PUTRAJAYA: Amalan pembelian tergesa-gesa pada hujung tahun atau ‘Christmas Shopping’ yang boleh menyebabkan pembaziran sumber dalam perkhidmatan awam perlu dielakkan sama sekali.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, meskipun semua kementerian dan jabatan melaksanakan inisiatif Belanjawan 2025 dan perolehan kewangan secara terancang, ia perlu dijalankan dengan memastikan tatakelola ke arah mencapai nilai faedah terbaik serta kecekapan perbelanjaan.
Beliau berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah membangkitkan isu-isu pengurusan kewangan kerajaan, namun isu penyelewengan dan pembaziran sumber awam masih berlaku.
“Jika dibiarkan isu ini menjadi semakin kompleks dan tiada penyelesaian yang tuntas, ia akan menjejaskan kredibiliti dan persepsi masyarakat terhadap penjawat awam secara umumnya.
“Penjawat awam perlu memastikan ketelusan, integriti kebertanggungjawaban menjadi teras kepada prinsip-prinsip dalam tatakelola dan etika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Perakaunan Pengurusan 2025 yang bertemakan ‘Perakaunan Pengurusan: Daripada Data Kepada Pembuatan Keputusan’ anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Menurut KSN, Kerajaan MADANI memberikan tumpuan untuk mengoptimumkan perbelanjaan awam dengan menyemak semula dasar perbelanjaan dan pengagihan sumber yang terhad bagi memastikan kecekapan, keberkesanan dan nilai untuk wang.
Katanya, penerusan pelaksanaan dasar ke arah subsidi bersasar membolehkan kerajaan mengurangkan pembaziran dan ketirisan, serta menyediakan ruang fiskal untuk menambah baik bantuan kepada golongan rentan.
