PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, serta ahli perniagaan Albert Tei, bakal dihadapkan ke mahkamah masing-masing esok dan Jumaat berhubung beberapa pertuduhan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata kedua-dua individu itu akan berdepan lima pertuduhan iaitu empat daripadanya akan disebut di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur esok, manakala satu lagi pertuduhan di Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.
Katanya, Albert akan dituduh memberi suapan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala Shamsul pula akan didakwa di bawah Seksyen 17(a) akta sama bagi tuduhan meminta atau menerima rasuah.
“Seorang lagi individu, Sofia Rini Buyong, tidak akan didakwa kerana beliau merupakan saksi pendakwaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini.
Azam turut memaklumkan siasatan terhadap kes berkenaan disempurnakan selepas SPRM merakam keterangan 32 saksi. Beliau menegaskan bahawa Tei bukan pemberi maklumat dalam kes tersebut.
“Beliau tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” tegasnya.
Shamsul, yang juga Ketua PKR Melaka, sebelum ini meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan Perdana Menteri dengan mendakwa wujud gerakan menggunakan kontroversi untuk menjatuhkan reputasi dirinya serta imej kerajaan.
Tidak lama selepas peletakan jawatan itu, Albert mendakwa beliau membelanjakan RM629,000 bagi kerja ubah suai, perabot dan peralatan sebuah hartanah yang dikaitkan dengan Shamsul, termasuk beberapa barangan peribadi.
Ahli perniagaan itu turut berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa menunjukkan permintaan mata wang asing oleh Shamsul sebelum ke luar negara.
