KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menafikan dakwaan mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mencadangkan kelulusan projek melibatkan syarikat tertentu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat exco hari ini susulan pendedahan yang dibuat Perdana Menteri di Parlimen semalam.
“Saya dimaklumkan tiada exco negeri menghantar surat yang menyebut nama syarikat secara spesifik untuk cadangan kelulusan.
“Namun saya tidak dapat mengulas lanjut kerana kita belum melihat surat yang didedahkan perdana menteri, dan ia perlu diteliti dalam konteks sebenar,” katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim.
Semalam, Anwar mendedahkan beliau menerima surat daripada exco Terengganu dan Kelantan yang memohon kelulusan terus untuk projek tertentu.
Perdana Menteri menegaskan tindakan sedemikian adalah tidak beretika, kerana permohonan projek tidak sepatutnya ditujukan terus kepada pejabatnya.
Menurut Anwar, permohonan berkenaan juga tidak sama seperti surat sokongan biasa, termasuk kes melibatkan bekas setiausaha politik kanannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang hanya memohon permohonan syarikat tertentu dipertimbangkan, bukannya diluluskan terus.
