KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan aktiviti mendulang emas di tanah kerajaan hanya dibenarkan kepada rakyat Kelantan, dengan bayaran lesen sebanyak RM100 setahun.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, permohonan lesen boleh dibuat melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mulai bulan depan.
Katanya, mereka yang diberi kebenaran hanya boleh menggunakan kaedah tradisional, tanpa sebarang jentera atau mesin dan aktiviti itu mesti dilakukan di kawasan yang telah diwartakan sebagai tanah kerajaan.
“Kita akan maklumkan syarat lengkap serta lokasi yang dibenarkan. Setakat ini, kawasan mendulang dikenal pasti di empat daerah iaitu Tanah Merah, Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai.
“Hasil emas yang diperoleh perlu dijual kepada pembeli emas berlesen kerajaan negeri dan pembeli berkenaan juga diwajibkan membayar royalti,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.
Beliau berkata, permohonan untuk menjadi pembeli emas turut dibuka, namun hanya kepada rakyat Kelantan.
Mohamed Fadzli berkata, mereka yang mendulang di luar kawasan yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Pendekatan ini memberi peluang kepada rakyat Kelantan mencari rezeki. Ada yang mungkin jadikannya kerja sampingan, malah ada berpotensi menjadikannya sumber pendapatan tetap jika hasil lumayan.
“Waktu mendulang ditetapkan dari 8 pagi hingga 6 petang, dan ia tidak dibenarkan pada musim tengkujuh. Kita jangka ramai rakyat Kelantan akan memohon lesen mulai bulan depan,” katanya.
Katanya, bagi tanah persendirian, pemilik yang ingin melaksanakan aktiviti mendulang emas turut perlu memohon lesen.
Menjawab pertanyaan sama ada pelancong akan dibenarkan memohon lesen mendulang, Mohamed Fadzli berkata perkara itu akan dibincangkan kemudian.
